HAZELEN LIANA KAMARUDIN | | 23 Mei 2021



Sebahagian daripada pesakit yang menjalani rawatan di PKRC Gelanggang Seni, Kota Bharu.

KOTA BHARU - Dua lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) terpaksa dibuka selepas berlaku peningkatan mendadak jumlah pesakit Covid-19 di Kelantan.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Azman Yacob berkata, dua lokasi baharu itu ialah di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan serta Queens Park di Tanjong Chat di sini.

"Sekiranya dua lokasi ini diaktifkan (PKRC), saya yakin ia mampu menempatkan pesakit dalam kapasiti yang tinggi," katanya kepada pemberita ketika meninjau perkembangan dan situasi terkini gerak kerja petugas di PKRC Gelanggang Seni di sini pada Ahad.


Menurutnya, ketika ini hanya PKRC di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian sahaja yang boleh menempatkan kira-kira 464 pesakit dalam satu-satu masa.

Beliau berkata, PKRC itu merupakan penempatan paling besar merawat pesakit Covid-19 di Kelantan ketika ini.

Dr Azman berkata, Kelantan memerlukan kemudahan lebih besar dan kekal seperti stadium tertutup untuk berdepan sebarang ancaman wabak atau musibah pada masa hadapan.


Dr Azman memeriksa kelengkapan ubat di PKRC Gelanggan Seni, Kota Bharu.
Beliau turut mengakui kekurangan fasiliti itu mengakibatkan pihaknya berdepan cabaran untuk mengendalikan peningkatan mendadak kes Covid-19.

"Buat masa ini, pihak kami bergantung sepenuhnya kepada kemudahan yang sedia ada dengan mengubah kawasan tertentu mengikut kesesuaian bagi menempatkan pesakit Covid-19.


"Sebagai contoh Gelanggang Seni yang sebelum ini digunakan untuk persembahan kebudayaan terpaksa kita ubah menjadi PKRC begitu juga dengan kawasan lain," katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman mengatasi Covid-19 sebelum ini pihaknya mengambil masa selama tiga hari untuk mengaktifkan sesebuah PKRC.

Beliau berkata, untuk membuka PKRC aspek keselamatan dan keselesaan pesakit menjadi perkara utama kerajaan.

Katanya, dalam merawat pesakit Covid-19 sesebuah PKRC memerlukan bilik isolasi mengikut terma yang telah ditetapkan bagi memastikan sesi rawatan berjalan lancar.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/140045/KHAS/Covid-19/Covid-19-Kelantan-tambah-dua-lagi-PKRC
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf